Wednesday, February 3, 2010

Dah besar rupanya muadz.. dah boleh jadi 'cikgu'

PENINGKATAN USIA

Alhamdulillah.. dengan keberkatan dariNya.. kami sekeluarga dapat melangkah ke tahun baru dengan penuh keceriaan dan limpah rahmat dariNya.

Ucap syukur yang tak pernah padam dari diri ummi.. lebih - lebih lagi melihatkan peningkatan usia anak - anak.. terasa sangat cepat masa berlalu.. dan, semakin lama, semakin bertambah usia kita..

Terasa insaf di dalam diri.. kerana sudah banyak masa yang kami tinggal kan.. dan, semakin jauh kenangan lama dari diri kami. Sudah banyak pengajaran yang dapat kami kutip dari ranjau yang kami lalui.. terlalu banyak onak dan duri yang perlu kami tempuhi.. pahit dan manis.. semoga itu akan membuatkan kami lebih menghargai akan kehidupan ini. Semoga dengan ini akan membuatkan kami lebih tabah dan lebih mensyukuri segala nikmat yang Allah berikan.. InsyaAllah..

Dan, sekarang.. adalah masa untuk untuk melihat anak - anak membesar..memberikan mereka pendidikan agama yang sebaiknya.. InsyaAllah kami akan galas amanah itu sebaik yang mungkin.

"Ya Allah permudahkan lah kami dalam mendidik mereka..
jika kami tersalah, tunjukkan lah kami jalan yang lurus Ya Allah..
jangan biarkan kami mendidik mereka dalam keadaan jahil Ya Allah..
bantulah kami..
kasihani lah kami..
Engkau tunjukkan lah juga hidayah kepada kami supaya kami akan sentiasa di bawah lindunganMu..
Jadikanlah anak anak kami sebagai pembantu kami ketika di akhirat kelak..
dan, masukkan kami di dalam golongan mereka yang beruntung..
Amin Ya Allah..
Amin Ya Rahman..
Amin Ya Rahim..
Amin Ya Rabbal Alamin.."

Doa ummi dan abah yang tak pernah putus semoga Allah mengurniakan kami anak - anak yang soleh dan solehah.. kami risau dengan keadaan dan suasana kehidupan sekarang yang menagih lebih banyak ilmu agama di dada bagi membolehkan mereka dapat mengharungi kehidupan ini dengan selamat..


"CCTV"

Teringat dengan apa yang di bincangkan dalam program Halaqah baru - baru ini tentang satu topik yang bertajuk 'CCTV'. CCTV yang dibincangkan ini adalah cctv yang secara terus dari Allah. Yang mana, Allah Maha Melihat akan kesemua perbuatan yang dilakukan oleh hambaNya sama ada baik ataupun buruk.

Allah telah menugaskan 2 orang Malaikat untuk mencatit segala perbuatan kita. Setiap perbuatan.. akan di catit sebagai bukti kepada kita semasa 'perbicaraan' di akhirat kelak. Ketika itu.. akan beruntunglah kepada mereka yang mendapat buku amalan mereka dengan tangan kanan..tatkala meniti ayat - ayat suci dari surah Al Waqiah ini, terasa kerdilnya diri yang serba hina ini.. dapatkah kita tergolong di kalangan mereka yang "Muqarrabiin" itu?..

Kesudahannya: Jika dia (yang mati itu) dari orang-orang "Muqarrabiin", (88) Maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. (89) Dan jika dia dari puak kanan, (90) Maka (akan dikatakan kepadanya): Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan. (91)
Surah Al Waqiah : Ayat 88-91.


IBUBAPA PENCORAK ANAK - ANAK

Cuba mengingati apa yang di terangkan oleh Ust di dalam perbincangan itu. Antaranya, ialah.. kita; sebagai ibubapa adalah antara individu yang terpenting dalam memastikan anak - anak terasuh dengan didikan agama yang sempurna.

Di ketika anak - anak masih kecil.. kita masih boleh memarahi mereka jika mereka membuat silap. Dan, masih merotan mereka sekiranya ada kesalahan yang diperbuat. Kita masih boleh memantau setiap apa yang dilakukan oleh mereka kerana mereka masih berada bersama kita.

Keadaan ini amat berbeza apabila mereka telah meningkat dewasa.
Oleh itu anak - anak ini perlu di pasakkan di hati - hati mereka dengan iman kerana hanya dengan iman sahaja yang akan menjaga diri mereka tidak kira di mana mereka berada. Sekiranya iman yang menjadi pedoman mereka, InsyaAllah mereka tidak akan lupa akan CCTV Allah yang sentiasa ada berdampingan diri mereka.

Kami sentiasa mengharapkan semoga apa yang kami usahakan ini, akan menjadikan anak - anak kami seorang yang bertakwa dan patuh kepada arahanNya.. InsyaAllah. Kami akan cuba sedaya yang mungkin. Bertawakkal kepadanya.. dan, yang selebih nya.. terserah kepadaNya. Moga yang terbaik buat kami dan buat mereka. Amin..


MENDIDIK MUADZ

Berbanding along, tugas untuk mendidik maudz agak sukar. Dia banyak sangat ragam yang kekadang membuatkan kesabaran kami tercabar. Sesekali ada jugak perkara yang pelik yang dibuatkan, tetapi melucukan kami. Ini membuatkan perasaan nak marah pada mulanya,tetapi terbatal dek kerana rasa terhibur dengan apa yang dilakukan nya.

Selalu juga ummi sengaja bersembang, bercakap dan bertanya kan padanya tentang masa depannya. Sengaja bertanya sambil memberikan jawapan kepadanya supaya jawapan itu yang akan di jadikan matlamat nya suatu hari nanti..

"adik, ... bila adik besar, adik nak jadi apa ye?.."dengan nada memujuk, bertanya penuh pengharapan kepadanya..
"adik nak jadi hafiz kan?.. " mengharapkan jawapan inilah yang akan diberikan setiap kali soalan ini di ajukan kepadanya.

Pernah sekali soalan ini di tanyakan kepadanya.. dan jawapan yang diberi adalah "Muadz nak jadi ultraman.. " astaqhfirullahal azim.. terlalu banyak terpengaruh la ni.

Ummi perlu membetulkan keadaan. Dengan gaya memujuk, ummi menerangkan hakikat sebenar.. supaya dia faham dan tidak kecil hati dengan respon yang ummi berikan:
"adik.. adik mane boleh jadi ultraman. Kalau adik tengok kat sekeliling adik, ada tak adik jumpa ultraman?.. tak kan?. Ultraman hanya ada dalam tv je.. macam cerita - cerita kartun yang lain.. rekaan je semua tu.. adik jangan percaya sangat.. "

Alhamdulillah, sekarang dia dah makin faham dan InsyaAllah dia akan lebih memahami apabila dia meningkat semakin dewasa. InsyaAllah.



MUADZ MENJADI 'CIKGU'

Sama seperti along, banyak adab - adab yang ummi tekan kan kepada adik semenjak kecil. Supaya terbiasa dengan tabiat baik, dan akan merasa kekok apabila ingin perbuat benda yang tak elok. Walaupun tidak se sempurna orang lain, tetapi ummi sentiasa mengharapkan semoga usaha yang sedikit ummi ini akan di rahmatiNya.. InsyaAllah.

Antara ajaran biasa yang ummi selalu lakukan bersama - sama mereka, (terutamanya muadz) kerana banyak yang dia masih lupa :-
- membaca doa bersama mereka semasa dalam perjalanan ke sekolah
- memberikan salam buat ahli kubur serta membacakan doa semasa melalui kawasan perkuburan
- bertutur dengan bahasa yang lembut (muadz selalu kena marah oleh ummi kerana selalu lupa tentang ni.. )
- sembahyang berjamaah ( juga sangat2 sukar buat muadz kerana ada sahaja alasan dia.. )
- baca doa setiap kali nak makan ( alhamdulillah, setakat ini, walau mengantuk macam mane pun, dia akan tetap membacakan doa sebelum minum susu)
- dan antara lain, makan sambil tutup mulut..

Alhamdulillah,..
suatu hari semasa dalam perjalanan pulang dari taska, sedang along menyuapkan roti ke mulut adiknya yang kelaparan.. tak semena - mena muadz bersuara..

"ummi.. asyh (panggilan manja) ajar kawan asyh makan tutup mulut arini.."
sambil menunjukkan perlakuan nya makan sambil menutup mulut kepada ummi..

"oo ye ke?.. bagusnya anak ummi.. ha. macam tulah. Bagus. Ajarkan kawan benda yang baik.. ummi suka, dan Allah pun suka..nanti kalau asyh ajar kawan benda baik, Allah bagi pahala kat asyh.. "sambil memberikan senyuman kepada nya yang dapat ummi lihat dari cermin belakang.
dan, ummi dapat rasakan.. dirinya bangga dengan pujian yang telah ummi berikan. Dan, bersyukur kerana dia faham dengan apa yang di ajarkan kepadanya..

Begitulah anak - anak. Memerlukan sokongan dan dorongan dari ibubapa. Semoga kita akan sentiasa berusaha untuk memastikan diri kita adalah role model kepada anak - anak. InsyaAllah kita akan menjadi golongan yang beruntung.. Amin.

No comments: